Tuesday, August 31, 2010

aku ingin bukan sekadar...


aku ingin bukan sekadar...

MELIHAT..
Aku ingin bukan sekadar melihat kematian setiap hari, tapi aku ingin merasakan bahawa aku jua akan mati dan kembali menemuiMu Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar melihat keindahan alam ciptaanMu Ya Allah, tapi aku ingin rasa cinta ini lahir melihat kebesaranMu Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar melihat kemaksiatan yang berlaku, tapi aku ingin membencinya sebenci-benci hatiku dan berusaha merubahnya..
Aku ingin bukan sekadar melihat sahabat-sahabatku yang mulia akhlak dan tinggi peribadinya, tapi aku ingin juga menjadi seperti mereka berlumba-lumba membuat kebaikan..
Aku ingin bukan sekadar melihat bencana dan malapetaka yang menimpa umat hari ini, tapi aku ingin terus tunduk dan takut untuk mengingkari segala perintahMu Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar melihat rakan-rakanku bijak dan berjaya, tapi aku ingin juga mencontohi mereka setiap hari yang aku lalui..


MENDENGAR
Aku ingin bukan sekadar mendengar peringatan dan nasihat yang diberikan, tapi aku ingin beramal dan hidup dengannya Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar mendengar khabar sahabatku, tapi aku ingin juga menabur budi dan bakti kepada mereka Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar mendengar jemputan-jemputan untuk aku berbuat kebaikan, tapi aku ingin juga merebut segala peluang kebaikan yang mampu aku lakukan..
Aku ingin bukan sekadar mendengar kisah-kisah Rasulullah dan Sahabat baginda, tapi aku juga ingin melahirkan dalam hati ini semangat yang mereka tunjukkan Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar mendengar keluhan dan rintihan sahabat-sahabatku, tapi aku ingin menghulurkan tangan dan segala tulang-belulang aku untuk membantu mereka..
Aku ingin bukan sekadar mendengar keindahan dan ketinggian mereka yang IKHLAS, tapi aku ingin turut merasakan keikhlasan itu mengalir dalam diri aku ini Ya Allah..


BERKATA
Aku ingin bukan sekadar berkata kepada mereka, tapi aku ingin juga menjiwai setiap patah perkataan daripada apa yang aku perkatakan..
Aku ingin bukan sekadar berkata, tapi aku ingin setiap perbuatan dan tingkahlakuku seperti yang aku perkatakan..
Aku ingin bukan sekadar berkata tentang kesalahan, tapi aku ingin juga tangan ini turut membantu memperbaiki setiap langkahnya.


MENERIMA
Aku ingin bukan sekadar menerima segala kebaikan orang kepadaku, tapi aku ingin juga memberi seperti mana aku menerimanya Ya Allah..
Aku ingin bukan sekadar menerima diri sahabatku, tapi aku ingin juga membuang segala prasangka aku kepada mereka..
Aku ingin bukan sekadar menerima hakikat bahawa perubahan itu memerlukan pengorbanan, tapi aku ingin mengorbankan segala yang perlu bagi menjayakan perubahanku..


MERASA
Aku ingin bukan sekadar merasa nikmat kemewahan yang Allah pinjamkan kepada aku, tapi aku ingin juga berkongsi segala-galanya dengan sahabat dan mereka yang memerlukan..
Aku ingin bukan sekadar merasakan kehadiranMu Ya Allah di saat aku susah dan di uji, tapi aku ingin juga merasakan kasih sayangMu Ya Allah di setiap detik nafas ku.
Aku ingin bukan sekadar merasakan betapa pedihnya azabMu Ya Allah, tapi aku ingin juga terus memelihara diriku daripadanya..
Aku ingin bukan sekadar merasakan kasih sayangMu kepadaku, tapi aku ingin juga masyarakat disekitarku turut merasakan betapa Engkau Ya Allah Maha Pemurah lagi Mengasihani mereka..
Aku ingin bukan sekadar merasakan diri aku berdosa dan lemah, tapi aku ingin juga berhenti daripada terus berdosa dan terus berada dalam kelemahan..
Aku ingin bukan sekadar merasa semangatnya perjuangan ini, tapi aku ingin terus kekal di dalamnya dan terus thabat kepada tarbiyah untuk diriku ini..

Aku ingin bukan sekadar ingin, aku ingin berazam dan bersungguh-sungguh dalam setiap keinginan aku ini Ya Allah...

Saturday, August 28, 2010

Aku bukan hamba Ramadhan..

Arnab peliharaan Prof Roslan

Bila Ramadhan menjelma, usrah berhenti seketika bagi membolehkan setiap ahlinya mentarbiahkan diri sendiri dan mengejar seberapa banyak yg mampu ganjaran yang disediakan Ramadhan.. kerana inilah bulan yang suasananya penuh dengan kebaikan dan pastinya mudah untuk kta menjaga diri kita.... sepatutnya lah.. hehe.

Hafiz mencuba nasib untuk tidak menakutkan arnab, hehe..

Namun apa yang pasti, aku tidak mahu jadi hamba Ramadhan, aku ingin menjadi hamba yang sebenar-benar hamba kepada penciptaku Allah azza wajalla. Ya Allah berikan kekuatan untuk beramal seperti mana kekuatan yang engkau berikan kepadaku semasa Ramadhan ini ya Allah. Inilah kata-kata Yusuf Al-Qardawi "Jadilah kamu hamba yang rabbani (hamba yang sebenar sebenarnya), bukan hamba hanya kepada Ramadhan"

Kasih sayang seorang Naqib kepada anak usrahnya, namun kerap kali aku tidak menghargainya..

Pertemuan yang ringkas itu ternyata menyentak juga hatiku apabila Prof Roslan mengajak semua ikhwah untuk memuhasabah kembali ramadhan ini sementara menunggu juadah berbuka puasa yang disediakan prof.. Dalam menghadapi 10 malam terakhir/kemuncak ini, apakah kita sudah bersedia.. Allah, aku merasakan betapa masih beratnya aku untuk menghadapi 10 malam terakhir ini..

Biarpun bergelar Prof, tapi dirinya cukup rendah diri walaupun dengan kami. Inilah hati insan yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah, hidupnya hanya demi memartabatkan Islam di dunia ini.

Prof menceritakan bagaimana pelan dan perancangan bagi orang yang benar-benar ingin mendapatkan 10 malam terakhir sehingga sanggup menyusun jadual balik ke rumah bagi yang tinggal jauh. mereka ini memastikan menempah tiket balik pada waktu siang bagi membolehkan waktu malamnya digunakan. Bagi yang tiada pilihan, mereka pula menempah tiketnya pada hari-hari genap bagi membolehkan mereka bangun di hari-hari ganjil. Allah, sehingga begitu sekali perancangan mereka.. Apa perancangan aku? huhu.

Sempat bergambar sebelum pulang

Inilah kekuatan ukhuwah yang dibina atas landasan akidah. Setiap pertemuan itu pastinya akan mendekatkan diri kita lagi kepada Allah.. Pertemuan yang hanya berakhir dengan sia-sia itu bukanlah yang dinamakan ukhuwah Islamiah menurut Imam Hassan Al-Banna. Maka bagi kita, pastikan kita tanya, apakah setiap pertemuan yg berlangsung selama ini antara kita dan kawan kita itu adalah ukhuwah islamiyah. Jika tidak, di mana salahnya? aku melihat salahnya terletak pada diri kita sendiri yang mengeras dan membatukan diri daripada peringatan yang diberikan..

Friday, August 27, 2010

Yang penting, istiqomah...

Dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. memasuki rumah dan sewaktu seorang wanita berada di sisinya. Baginda bertanya: "Siapakah ini?" Aisyah menjawab: "Ini fulanah yang terkenal dengan (ketekunan) solatnya.” Baginda bersabda:

"Mah (ucapan menunjukkan ketidak senangan)! Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Allah tidak jemu (menerima amalanmu) sehingga kamu jemu. Pengamalan agama yang paling disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan." (RS142; Bukhari, Muslim)

"Jadikan aku tergolong dalam golongan orang-orang yang istiqomah ya Allah"....... Amin..

Saturday, August 21, 2010

Novel Cinta Kita..


Inilah Novel Cinta kita..

walaupun Novel Cinta ini masih dalam pembikinan,
maka aku menukilkan kata-kata ini untuk memperingatkan diriku yang lemah ini
bahawa
Novel Cinta ini perlu ditulis dengan penuh berhati-hati agar tiada coretan nafsu di dalam plot ceritanya.
Pena dan dakwat ketaqwaan perlu digunakan dalam merangka setiap bait-bait kata di dalamnya.
Keimanan pula menjadi genre yang diperjuangkan
dalam menunaikan janji perkahwinan yang akan menjadi penutupnya
sebelum mula menulis Novel Kita yang seterusnya..
Andainya kedua penulis ini melakukan kesalahan dalam ejaan dan tatabahasanya,
maka penulisnya harus kembali kepada Allah,
kerana ternyata penulisnya juga insan yang lemah,
namun tidak ingin terus hidup dalam kelemahan,
penulis harus berani mengakui kesilapan dan dosa itu,
lalu..
Meletakkan penyerahan dan mengharapkan kebahgiaan yang bakal menjelma hanya pada Allah.
Kemudian ia perlu di sunting oleh editor dengan tarbiyah dan hikmah.
Agar yang membacanya terpaut hatinya.
kerana Novel Cinta ini bukan seperti novel cinta murahan di luar sana.
Novel Cinta ini bukan untuk dibangga-banggakan,
Novel Cinta ini bukan untuk menjadi perhiasan mata mereka yang di luar sana,
Novel Cinta ini novel yang disaluti kulitnya dengan keindahan Islam itu,
Novel Cinta ini dinukil untuk menjadikan ia sebagai syafaat di akhirat kelak dan bukannya tiket untuk menempah ke neraka.

Sesungguhnya Allah jualah Cintaku yang TerAgung...