Thursday, May 21, 2009

Kenapa aku menulis..

Bestkan tengok sesetengah orang yang kerap mengisi blog mereka..
kadang-kadang terfikir juga kenapa aku pun tiba-tiba dicampakkan keinginan untuk terus menulis..

apakah mungkin kerana......


ada perkara yang tidak aku pandai ungkapkan dalam kata-kata
atau
ada perkara yang bila diungkapkan dengan kata-kata lain pula jadi mesejnya
atau
aku sejenis orang yang pendiam ?(tak mungkin)
atau
tulisan mampu memberi masa aku memikrkan perkara apa yang hendak disampaikan
atau
inilah cara aku mengabadikan memori yang aku lalui
atau
ingin mencurahkan rasa hati yang tidak dapat diluahkan
atau
ingin membalas dendam terhadap diri yang tidak mampu membalas
atau
ingin memberi pengajaran yang diteladani
atau
berkongsi ruang hidup yang dilayari dari sehari-ke sehari
atau
ingin berkongsi hikmah yang diimani
atau
inilah dakwahku
atau
aku ingin menarik perhatian orang terhadap diriku
atau
kerana perhatian yang sering diberikan padaku ingin aku perbetulkan kesilapanku supaya tidak diikuti oleh mereka yang memerhati
atau
seronok tengok orang lain tulis blog, pastu lawa-lawa pulak tu
atau
tidak ingin ketinggalan
atau
sekadar ingin mewarnai kehidupan ku dan kehidupan si pembaca..


he3, ntahla yang mana satu sebabnya, apa yang ditulis semua apa yang terlintas saja..
Namun apa yang pasti, hidup ini bukan sekadar Hitam Putih saja.. Warnai kehidupan Anda....

Wednesday, May 20, 2009

Biarlah anda yang tentukan...


Jika anda diberikan antara dua, anda pilihlah yang mana anda inginkan....

Pilihlah antara
Seorang yang melihat tiada ruang kebaikan lain yang boleh dimanfaatkan dan hanya ruangnya saja yang mampu mengubah kepada yang lebih baik
atau
Seorang yang melihat terdapat ruang-ruang walaupun sedikit yang mampu dimanfaatkan kepada kebaikan dan melihat terdapat masih banyak ruang lagi yang boleh digunakan di samping segala ruang sendiri di manfaatkan sepenuhnya.,

Pilihlah antara
Seorang yang bercakap atas dasar tradisi dengan hujah "seperti yang dibuat tahun-tahun lalu"
atau
Seorang yang bercakap atas dasar hanya inginkan satu perubahan yang lebih baik dengan berdasarkan hujah-hujah yang telah dicerna dan dibahaskan

pilihlah antara
Seorang yang di lihat hero kepada masyarakat. mereka membawa segala serba serbi suara masyarakat tanpa ada unsur tapisan kepada kerosakan yang bakal dihasilkan daripda suara itu, mereka ini digilai masyarakat dan nama-nama mereka disebut-sebut oleh mereka yang kurang faham tentang kebenarannya
atau
Seorang yang bukan ingin menjadi hero, hanya inginkan pembetulan kepada kerosakan yang ditinggalkan walaupun pembetulan itu mungkin mengundang keburukan kepada namanya kerana kurangnya kefahaman tentang mereka yang memburukkannya

Pilihlah antara
Seorang pemimpin yang sanggup bekerja tidak profesionalisme selagi mana objektif kerja yang hendak dibuat dicapai
atau
Seorang pemimpin yang bekerja atas dasar profesionalisme walaupun dasar itu menyusahkan dirinya dan objektif yang hendak dicapai

Pilihlah antara
Seorang pekerja yang Taqlid(ikut) semata-mata dan sibuk membicarakan dan mencampuri bidang kerja organisasi lain sehingga bidang kerja organisasi sendiri tidak dimanfaatkan sebaik yang mungkin
atau
Seorang pekerja yang memahami dasar dan perjuangan seebuah organisasi serta bidang kerja yang mampu dimanfaatkan sepenuhnya.

Pilihlah antara
Seorang yang sentiasa ingin menjatuhkan lawannya tanpa melihat apa-apa kebaikan pada lawannya yang boleh dimanfaatkan walupun kononnya ada kebaikan yang diiktiraf melalui lisan sahaja
atau
Seorang yang melihat kebaikan yang ada pada lawannya dan meraikan kebaikan itu.

Pilihlah antara
Seorang yang berada disuatu tempat dan ingin keadaan terus dikekalkan seperti sedia kala walaupun masih ada kerosakan didalamnya
atau
Seorang yang berada di suatu tempat dan hanya inginkan, Hari ini lebih Baik dari semalam

Pilihlah antara
Seorang yang meletetakkan rakyat sebagai HAKIM
atau
Seorang yang meletakkan hukum-hakam melalui pengantara orang-orang yang bertauliah dan siqah sebagai HAKIM

Pilihlah antara
Seorang yang sering menafikan lawannya
atau
Seorang yang tidak terlepas mengiktiraf sumbangan lawannya pada kebaikan dan tidak menafikan kebaikan lawannya

Pilihlah antara
Seorang yang melihat jaminan itu cukup kukuh dengan lisan sahaja
atau
Seorang yang melihat perlu ada jaminan yang lebih kukuh selain daripada lisan iaitu bukti yang dapat menjamin sesuatu akan berlaku.

#Jika anda menghadapi/ berhadapan dengan situasi antara dua, maka tanyalah soalan ini pada diri anda dan pilihlah yang mana satu anda inginkan.. Selamat Memilih.

Thursday, May 7, 2009

Apa Ertinya Hak Tanpa Tanggungjawab, Amanah dan Keadilan?

Dipetik - http://www.jim.org.my/v1/index.php/artikel/minda-pimpinan/264-apa-ertinya-hak-tanpa-tanggungjawab-amanah-dan-keadilan

Monday, 09 Jamadil Awal 1430
Tuan Haji Syed Ibrahim Syed Noh

Pemahaman masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu berkenaan dengan hak asasi manusia sebenarnya masih rendah walaupun barangkali telah meningkat jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu. Bagi saya, punca utama kepada keadaan ini ialah kerana kurangnya kefahaman tentang tasawur Islam, prinsip-prinsip utama Islam serta jurang perbezaan antara kefahaman dan pelaksanaan. Di samping itu, kemungkinan tindakan segelintir pemimpin Islam itu sendiri menyebabkan takrif hak asasi sering terkeliru. Rujukan terus kepada prinsip-prinsip hak asasi Barat, walaupun ada pelbagai bahagiannya yang selari dengan Islam, dianggap sebagai tidak sesuai dengan adat dan norma masyarakat Timur. Namun, soalnya apakah prinsip hak asasi manusia yang sesuai?

Menurut aktivis masyarakat, YB Saari Sungib, prinsip dan instrumen hak asasi manusia menurut Islam tidak diwujudkan atas dasar mendominasi kuasa seperti mana prinsip Barat. Katanya, “prinsip-prinsip hak asasi manusia, keadilan serta penentangan terhadap kezaliman telah wujud dalam al-Quran di peringkat Makkah lama sebelum Rasulullah s.a.w. dan para sahabat diizinkan mengangkat senjata di Madinah.” Menurut Saari lagi, “prinsip dan instrumen hak asasi manusia dalam Islam adalah berpandukan konsep ummah, musyawarah dan basyariyah.”

Dalam Islam, hak asasi tersebut datang dengan sendirinya sebaik sahaja manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Mantan Menteri Undang-undang Pakistan, A. K. Brohi, pernah menyatakan, “It seems at first sight, therefore that there are no human rights or freedom admissible to man in the sense in which modern man’s thought, belief and practice understand them, in essence the believer has only obligations or duties to God since he is called upon to obey the Divine Law, and such human rights as he is made to acknowledge stem from his primary duty to obey God. Yet, paradoxically, in these duties lie all the rights and freedom.”

Apa yang lebih penting, menurut Saari ialah ummah itu tidak terbatas hanya kepada penganut Islam. Karamatul atau kemuliaan insan yang ditegakkan oleh al-Quran menempatkan basyariyah atau kemanusiaan di tempat yang paling mulia, tanpa batasan kaum, agama, ideologi dan kepercayaan. Prinsip dan proses pembangunan hak asasi manusia ialah seperti yang ditegakkan dalam Sahifah atau Piagam Madinah, maqasid syariah, bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dan juga Khutbah al-Wida’.

“Prinsipnya berpandukan agar jangan ada sesiapa yang menindas serta menyekat kebenaran dan keadilan daripada dinikmati oleh insan lain,” tegas Saari. Beliau membentangkan kertas kerja berkenaan perkara itu dalam Seminar Nasional Hak Asasi Manusia anjuran JIM pada Mei 2007.

Apabila berbicara tentang hak asasi manusia, kita sebenarnya sedang menerjah ke dalam satu perkara yang asas dalam Islam iaitu berhubung hak, tanggungjawab, amanah, kebenaran dan keadilan. Mana mungkin perkara yang sebegini asas boleh dipinggirkan. Jika kita mempunyai kefahaman yang tepat berkenaan hak, kita akan jelas bahawa kita masing-masing ada hak kepada Allah Yang Maha Pencipta, hak kepada masyarakat dan hak terhadap diri sendiri. Kita juga akan jelas hak yang paling utama ialah kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita tidak akan melanggar hak tersebut, bukan kerana Allah memerlukan kita, tetapi kerana itulah tanda kesyukuran kita atas nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada hamba-Nya.

Berkait rapat dengan hak kepada Allah ialah hak kepada masyarakat. Mustahil kita boleh bermasyarakat tanpa kefahaman tentang hak yang dituntut kepada masyarakat. Allah menuntut manusia untuk bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan kebajikan. Allah menuntut manusia untuk menjaga jiran tetangga dan hubungan silaturahim berkeluarga. Allah juga menuntut manusia untuk berusaha mencegah kemungkaran. Salah satu daripada maqasid syariah atau tiang syariah ialah keturunan. Menjaga keturunan termasuk salah satu hak kepada masyarakat.

Pada masa yang sama, kita juga ada hak terhadap diri kita sendiri. Dalam rangka kita menjaga hak kepada Allah dan masyarakat, kita perlu memahami dan menjaga hak kita sendiri dengan mengetahui apa hak yang perlu dibela dan dipertahankan. Umpamanya, dalam menunaikan hak kepada Allah, kita ada hak diberikan ruang untuk solat bila tiba waktunya. Dalam menunaikan hak kepada Allah, kita juga ada hak untuk mencari rezeki yang halal di samping kita juga ada hak untuk membela diri jika dituduh bersalah.

Hak juga berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan keadilan. Hak mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, amanah dan pastinya keadilan. Jika ada hak tetapi tidak bertanggungjawab maka hak sama ada mudah dicabuli atau hilang kelayakan atau dikecam orang. Umpamanya, Allah memberikan hak kepada kita untuk memanfaatkan alam sekeliling, tetapi kita tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan merosakkannya, maka kita akan kehilangan hak itu. Betapa besarnya konsep hak sehingga pelanggarannya dianggap satu kezaliman dan dosa di sisi Allah.

Hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai isu yang menyinggung hak asasi manusia. Hak alam sekitar, hak bekerja atau hak belajar mungkin tidak mendapat tempat dalam kamus hak kita tetapi ia berkait rapat dengan hak-hak yang paling asas iaitu hak untuk hidup, hak untuk bebas bergerak, hak bersuara, hak berhimpun, hak berpersatuan, hak untuk dibicarakan secara adil dan lain-lain.

Jika di pentas dunia, penindasan dan penafian berterusan hak rakyat Palestin terhadap tanah airnya dan kehidupan merupakan pelanggaran hak asasi yang besar. Apatah lagi, dikenakan sekatan ekonomi dan sekatan tembok di tanah air sendiri. Dalam isu Palestin inilah terserlah dualisme dalam dasar antarabangsa dan polisi hak asasi manusia khususnya dasar Amerika Syarikat. Apabila Iraq menceroboh Kuwait satu masa dulu, Amerika terlebih dahulu mendesak PBB melalui Majlis Keselamatan untuk bertindak ke atas Iraq. Tetapi apabila Israel laknatullah menceroboh Genting Gaza dan Lubnan, tindakan itu direstui kerana dianggap untuk membebaskan negara haram Israel daripada pengganas. Walaupun beribu-ribu orang awam menjadi pelarian dan ramai terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak di Qana dan Gaza, prinsip ini masih dipegang oleh Amerika.

Kerja “gila” dan melampau rejim zionis ini merupakan antara pencabulan hak asasi terbesar pada awal era abad 21 ini. Mengapa saya katakan begitu? Sebab menghancurkan kediaman penduduk awam, mengusir keluar dari tanah air sendiri hingga menjadi pelarian, membunuh keluarga, saudara-mara, rakan dan ahli masyarakat yang tidak bersalah, menjejaskan keperluan asas seperti air dan elektrik, menjejaskan pendapatan dan saraan hidup dan lain-lain lagi adalah antara ciri-ciri besar perampasan dan pencabulan hak asasi manusia.

Menambahkan lagi kezaliman ini ialah sokongan oleh Amerika berdasarkan alasan hak asasi manusia atau kedaulatan negara iaitu hak kedaulatan negara haram Israel yang tidak boleh dicemari. Penafian HAMAS sebagai kerajaan pilihan rakyat Palestin melalui proses demokrasi juga merupakan satu pencabulan hak asasi manusia, selari dengan Perkara 21 (3) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat iaitu “Iltizam rakyat akan dijadikan asas pemerintahan kerajaan; iltizam ini akan dizahirkan dalam pilihan raya yang berkala dan sah menerusi hak memilih yang saksama dan sejagat, dan akan diadakan secara undi rahsia atau dengan prosedur pengundian yang bebas”.

Dalam konteks ini, krisis politik di Perak baru-baru ini ada kaitannya. Jika iltizam rakyat ketika Pilihan raya Umum ke-12 mengisyaratkan kecenderungan kepada Pakatan Rakyat, maka iltizam itulah seharusnya dijadikan asas pemerintahan kerajaan negeri dan bukannya melalui proses peralihan kuasa secara lompat parti. Walaupun mungkin undang-undang membenarkannya namun bukankah asasnya ialah iltizam rakyat?

Ketika artikel ini disiapkan, krisis politik yang sudah menular kepada krisis perlembagaan masih berterusan. Satu ketika dulu, mahkamah dikatakan boleh membentangkan jalan penyelesaian kepada kemelut tersebut namun perkara sebaliknya berlaku. Mahkamah kini sudah mula mencampuri urusan legislatif apabila Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Mac 2009 telah mengeluarkan arahan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa beliau tidak dibenarkan memanggil sebarang Sidang DUN.

Suhakam, badan bebas hak asasi manusia Malaysia, turut menyuarakan pandangannya terhadap cara mana krisis politik di Perak ditangani. Menurut Suhakam, hanya pilihan raya semula boleh menyelesaikan kekusutan dan ketidaktentuan, terutamanya apabila kesahihan surat peletakan jawatan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat berada dalam keraguan. Perkara penting yang ditegaskan oleh Suhakam ialah hak untuk memilih kerajaan pilihan mereka merupakan hak asasi rakyat.

”Kelihatannya, kaedah yang digunakan untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak dipersoalkan. Lanjutan itu, keabsahan kerajaan baru negeri turut dipersoalkan,” jelas Suhakam. Oleh itu, menurut Suhakam, pilihan raya baru untuk Dewan Undangan Negeri harus diadakan selari dengan prinsip hak asasi manusia bagi meleraikan kemelut politik Kerajaan Negeri Perak.

Tetapi apa juga pandangan dan saranan sebenarnya tidak bermakna sekiranya ada pihak yang tidak memahami asas kepada hak asasi manusia. Bukankah hak berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan keadilan? Hak mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, amanah dan pastinya keadilan. Jika ada hak tetapi tidak bertanggungjawab, maka hak sama ada mudah dicabuli atau hilang kelayakan atau dikecam orang. Jika tiada hak tetapi merampas hak dengan cara yang salah, maka itu merupakan kezaliman dan mendapat kemurkaan Allah.

Pada pendapat saya, apa yang berlaku di Perak boleh berlaku di negeri lain sekiranya asas tersebut tidak dipegang dan dihormati. Tambah malang jika asas Islam juga dipinggirkan. Dasar pertama Islam dalam ketatanegaraan dan kontrak sosial bernegara adalah musyawarah. Asas kepada musyawarah adalah kepemimpinan sebagai amanah dan kepengikutan sebagai ibadah dalam taah.

Dalam hadis Riwayat Bukhari dan Muslim:

“Daripada ’Abdullah bin Mas’ud, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) yang mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka haq (hak) mereka dan mintalah daripada Allah (hak) kamu”.

Menurut YB Saari, pemerintah wajib bermusyawarah dengan rakyat dan rakyat wajib bermuhasabah terhadap pemerintah. Amanah pemerintah terbatal apabila pemerintah membelakangkan musyawarah. Ringkasnya, dasar hak asasi manusia yang digariskan oleh syariat Islam menetapkan pemerintah tidak menguasai rakyat, tetapi keputusan dan tindakan pemerintah tunduk kepada suara rakyat berpandukan prinsip-prinsip musyawarah. Paling penting, hubungan antara pemerintah dengan rakyat tidak dipaksikan atas kekuasaan tetapi sebaliknya atas kebebasan bersuara yang diberikan terhadap rakyat.

Dalam konteks krisis politik di Perak, hak kebebasan bersuara rakyat telah dicabuli secara tidak langsung apabila pertukaran kerajaan negeri berlaku tanpa penglibatan mereka. Walaupun tidak dinafikan ada proses lain seperti restu istana dan kesediaan kerajaan negeri sedia ada mengundur diri yang memungkinkan pertukaran itu berlaku, namun perkembangan yang berlaku lanjutannya membuktikan suara rakyat dan hak kebebasannya telah dicemari sedangkan ia sepatutnya dijunjung.

Begitulah juga keadaannya dengan isu-isu hak asasi lain yang mendepani masyarakat sekarang. Apakah tindakan pencegahan dan takrif umum keselamatan negara itu boleh membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara selama bertahun-tahun lamanya dan dizalimi dirinya dengan dibelasah dan didera tanpa peri kemanusiaan? Pada masa yang sama, ahli keluarga turut dizalimi dengan kehidupan tanpa suami dan ayah. Inilah ciri-ciri ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri yang jelas bercanggah dengan prinsip-prinsip musyawarah atau hak bersuara, basyariyah (kemanusiaan), kebenaran dan keadilan Islam.

“Undang-undang pencegahan tidak sama sekali bermakna kerajaan boleh mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara! Langkah-langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan kebenaran, ketelusan dan keadilan. Keadilan adalah untuk semua, majoriti dan minoriti. Tindakan menjaga kepentingan majoriti tidak bererti kerajaan boleh mencabul hak asasi golongan minoriti. Jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan, mereka hendaklah didakwa dan dibicarakan di mahkamah terbuka.” Ungkapan ini telah seringkali saya nyatakan bagi menangkis hujah pencegahan dan kepentingan majoriti mengatasi kepentingan minoriti yang lazim digunakan oleh pendukung ISA.

Cuba kita perhatikan pula isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini menjadi antara isu hangat. Dasar PPSMI yang dilaksanakan sejak tahun 2003 oleh Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu tidak pernah melalui proses rundingan. Banyak pihak yang menyatakan rasa kurang senang bukan sahaja dengan ‘kesegeraan’ dasar tersebut dilaksanakan tetapi lebih penting lagi kerana ia menafikan hak pengajaran dalam bahasa ibunda. Tindakan itu juga sekali gus menafikan hak pembangunan pendidikan kaum ibunda, merosakkan kesinambungan budaya bangsa dan memangsakan kepentingan ramai pelajar, guru dan sebagainya. Hak masyarakat untuk menentang dasar PPSMI merupakan hak bersuara yang tidak seharusnya dihalang dengan kekerasan. Ia seharusnya disambut dengan amalan musyawarah dan muhasabah. Ternyata prinsip tersebut tidak zahir pada awal penggubalan dasar dan tidak diraikan ketika dasar dilaksanakan.

Perubahan pemahaman terhadap hak asasi manusia dan amalan pelaksanaannya di Malaysia boleh berlaku melalui beberapa cara. Pertama, meningkatkan kefahaman tentang syariat Islam, prinsip-prinsip Islam dan hak asasi manusia khususnya sekitar maqasid syariah dengan mengadakan lebih banyak forum, wacana dan penulisan sehubungannya. Kedua, mendedahkan masyarakat dengan amalan dan tuntutan hak asasi dalam Islam dengan mengambil iktibar daripada perjuangan ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal. Ketiga, meningkatkan peranan gerakan Islam dalam merapatkan jurang kefahaman dan pengamalan tindakan serta penyelesaian dengan terlibat dalam menangani isu-isu hak asasi manusia semasa. Keempat, bekerjasama dengan NGO hak asasi dan mana-mana pihak yang selari dengan prinsip hak asasi manusia Islam dan kelima, beristiqamah dalam tindakan amar makruf nahi mungkar.

Tuan Hj. Syed Ibrahim Syed Noh adalah Timbalan Presiden JIM Pusat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Siasah Syar’iyyah dan Keadilan Sosial. Beliau juga merupakan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Arus Pemimpin -sesuatu untuk direnungkan

Petikan daripada "Kerja-kerja Bodoh dalam PAS"-http://nikabduh.wordpress.com

:::::Saya tidak suka berbicara mengenai arus. Saya tidak beriman dengan arus kerana saya dilarang beriman dengan arus. Kuasa rakyat, Makkal Sakti atau apa nama yang bersifat arus, itu bukan makanan kegemaran saya.

Saya akan berbicara tentang sesuatu yang mencipta arus itu. Saya akan berbicara mengenai angin. Anginlah yang mencipta arus dan gelombang. Saya tidak beriman dengan angin juga. Tetapi saya akan meredah mencari punca angin. Di situ saya menemui apa yang saya inginkan.

Saya menemui Allah. Allah mencipta angin dan Allahlah yang mengarahkan angin mencipta arus dan gelombang. Allahlah tuhan saya. Saya beriman dengan Allah yang satu. Dalam gelombang jenis mana pun, saya mahu tenang. Allahlah sumber ketenangan saya dan seluruh pembaca yang inginkan ketenangan yang benar dan abadi.

Justeru saya tidak akan fana dan luluh dalam gelombang kuasa rakyat atau kemarahan dan ridha rakyat. Rakyat hanyalah mainan pemimpin. Pemimpin adalah angin. Pemimpinlah yang mencetuskan kuasa rakyat dan mengemudi halanya. Dalam kebangunan dan kejatuhan sesebuah negara, pemimpin digunakan Allah untuk menentukan kejayaan dan kehancurannya.

Allah mengarahkan pemuka - pemuka negara melakukan kebaikan dan keadilan. Jika mereka melakukannya, Allah perteguhkan negara tersebut dengan keadilan dan keamanan. Jika pemuka - pemuka itu engkar, malah melakukan kefasiqan dan kezaliman, Allah pasti menghancurkan negara itu sehancurnya. Ia berpindah dari gelap menuju gelap atau lebih gelap lagi.

Saya bercakap mengenai pemimpin. Rakyat perlukan pemimpin yang benar dan jujur. Kemudian dia mesti berani dan amanah. Jika seorang pemimpin mencetuskan arus, maka arus itu biarlah benar, berguna dan dinikmati hasilnya. :::::

#################################################################

# Sekian lama mencari kata-kata orang yang jujur dan ikhlas dalam mencari kepimpinan yang baik dan berlandaskan ISLAM. Aku cukup tertarik dengan seni dan karangan yang penuh dengan makna dan warna ini, mudah-mudahan Allah jauhkan aku dalam golongan-golongan yang dimurkai.. terima kasih Nik Abduh atas teguran semanis nikmat kepada semua bakal-bakal hati yang ingin menjejak kakinya ke dunia pimpinan.. Mudahan-mudahan kata-kata ini dapat dihayati dan bukan sekadar "Mi Celup"