Thursday, May 7, 2009

Apa Ertinya Hak Tanpa Tanggungjawab, Amanah dan Keadilan?

Dipetik - http://www.jim.org.my/v1/index.php/artikel/minda-pimpinan/264-apa-ertinya-hak-tanpa-tanggungjawab-amanah-dan-keadilan

Monday, 09 Jamadil Awal 1430
Tuan Haji Syed Ibrahim Syed Noh

Pemahaman masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu berkenaan dengan hak asasi manusia sebenarnya masih rendah walaupun barangkali telah meningkat jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu. Bagi saya, punca utama kepada keadaan ini ialah kerana kurangnya kefahaman tentang tasawur Islam, prinsip-prinsip utama Islam serta jurang perbezaan antara kefahaman dan pelaksanaan. Di samping itu, kemungkinan tindakan segelintir pemimpin Islam itu sendiri menyebabkan takrif hak asasi sering terkeliru. Rujukan terus kepada prinsip-prinsip hak asasi Barat, walaupun ada pelbagai bahagiannya yang selari dengan Islam, dianggap sebagai tidak sesuai dengan adat dan norma masyarakat Timur. Namun, soalnya apakah prinsip hak asasi manusia yang sesuai?

Menurut aktivis masyarakat, YB Saari Sungib, prinsip dan instrumen hak asasi manusia menurut Islam tidak diwujudkan atas dasar mendominasi kuasa seperti mana prinsip Barat. Katanya, “prinsip-prinsip hak asasi manusia, keadilan serta penentangan terhadap kezaliman telah wujud dalam al-Quran di peringkat Makkah lama sebelum Rasulullah s.a.w. dan para sahabat diizinkan mengangkat senjata di Madinah.” Menurut Saari lagi, “prinsip dan instrumen hak asasi manusia dalam Islam adalah berpandukan konsep ummah, musyawarah dan basyariyah.”

Dalam Islam, hak asasi tersebut datang dengan sendirinya sebaik sahaja manusia melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Mantan Menteri Undang-undang Pakistan, A. K. Brohi, pernah menyatakan, “It seems at first sight, therefore that there are no human rights or freedom admissible to man in the sense in which modern man’s thought, belief and practice understand them, in essence the believer has only obligations or duties to God since he is called upon to obey the Divine Law, and such human rights as he is made to acknowledge stem from his primary duty to obey God. Yet, paradoxically, in these duties lie all the rights and freedom.”

Apa yang lebih penting, menurut Saari ialah ummah itu tidak terbatas hanya kepada penganut Islam. Karamatul atau kemuliaan insan yang ditegakkan oleh al-Quran menempatkan basyariyah atau kemanusiaan di tempat yang paling mulia, tanpa batasan kaum, agama, ideologi dan kepercayaan. Prinsip dan proses pembangunan hak asasi manusia ialah seperti yang ditegakkan dalam Sahifah atau Piagam Madinah, maqasid syariah, bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dan juga Khutbah al-Wida’.

“Prinsipnya berpandukan agar jangan ada sesiapa yang menindas serta menyekat kebenaran dan keadilan daripada dinikmati oleh insan lain,” tegas Saari. Beliau membentangkan kertas kerja berkenaan perkara itu dalam Seminar Nasional Hak Asasi Manusia anjuran JIM pada Mei 2007.

Apabila berbicara tentang hak asasi manusia, kita sebenarnya sedang menerjah ke dalam satu perkara yang asas dalam Islam iaitu berhubung hak, tanggungjawab, amanah, kebenaran dan keadilan. Mana mungkin perkara yang sebegini asas boleh dipinggirkan. Jika kita mempunyai kefahaman yang tepat berkenaan hak, kita akan jelas bahawa kita masing-masing ada hak kepada Allah Yang Maha Pencipta, hak kepada masyarakat dan hak terhadap diri sendiri. Kita juga akan jelas hak yang paling utama ialah kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita tidak akan melanggar hak tersebut, bukan kerana Allah memerlukan kita, tetapi kerana itulah tanda kesyukuran kita atas nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada hamba-Nya.

Berkait rapat dengan hak kepada Allah ialah hak kepada masyarakat. Mustahil kita boleh bermasyarakat tanpa kefahaman tentang hak yang dituntut kepada masyarakat. Allah menuntut manusia untuk bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan kebajikan. Allah menuntut manusia untuk menjaga jiran tetangga dan hubungan silaturahim berkeluarga. Allah juga menuntut manusia untuk berusaha mencegah kemungkaran. Salah satu daripada maqasid syariah atau tiang syariah ialah keturunan. Menjaga keturunan termasuk salah satu hak kepada masyarakat.

Pada masa yang sama, kita juga ada hak terhadap diri kita sendiri. Dalam rangka kita menjaga hak kepada Allah dan masyarakat, kita perlu memahami dan menjaga hak kita sendiri dengan mengetahui apa hak yang perlu dibela dan dipertahankan. Umpamanya, dalam menunaikan hak kepada Allah, kita ada hak diberikan ruang untuk solat bila tiba waktunya. Dalam menunaikan hak kepada Allah, kita juga ada hak untuk mencari rezeki yang halal di samping kita juga ada hak untuk membela diri jika dituduh bersalah.

Hak juga berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan keadilan. Hak mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, amanah dan pastinya keadilan. Jika ada hak tetapi tidak bertanggungjawab maka hak sama ada mudah dicabuli atau hilang kelayakan atau dikecam orang. Umpamanya, Allah memberikan hak kepada kita untuk memanfaatkan alam sekeliling, tetapi kita tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar dengan merosakkannya, maka kita akan kehilangan hak itu. Betapa besarnya konsep hak sehingga pelanggarannya dianggap satu kezaliman dan dosa di sisi Allah.

Hari ini, kita berhadapan dengan pelbagai isu yang menyinggung hak asasi manusia. Hak alam sekitar, hak bekerja atau hak belajar mungkin tidak mendapat tempat dalam kamus hak kita tetapi ia berkait rapat dengan hak-hak yang paling asas iaitu hak untuk hidup, hak untuk bebas bergerak, hak bersuara, hak berhimpun, hak berpersatuan, hak untuk dibicarakan secara adil dan lain-lain.

Jika di pentas dunia, penindasan dan penafian berterusan hak rakyat Palestin terhadap tanah airnya dan kehidupan merupakan pelanggaran hak asasi yang besar. Apatah lagi, dikenakan sekatan ekonomi dan sekatan tembok di tanah air sendiri. Dalam isu Palestin inilah terserlah dualisme dalam dasar antarabangsa dan polisi hak asasi manusia khususnya dasar Amerika Syarikat. Apabila Iraq menceroboh Kuwait satu masa dulu, Amerika terlebih dahulu mendesak PBB melalui Majlis Keselamatan untuk bertindak ke atas Iraq. Tetapi apabila Israel laknatullah menceroboh Genting Gaza dan Lubnan, tindakan itu direstui kerana dianggap untuk membebaskan negara haram Israel daripada pengganas. Walaupun beribu-ribu orang awam menjadi pelarian dan ramai terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak di Qana dan Gaza, prinsip ini masih dipegang oleh Amerika.

Kerja “gila” dan melampau rejim zionis ini merupakan antara pencabulan hak asasi terbesar pada awal era abad 21 ini. Mengapa saya katakan begitu? Sebab menghancurkan kediaman penduduk awam, mengusir keluar dari tanah air sendiri hingga menjadi pelarian, membunuh keluarga, saudara-mara, rakan dan ahli masyarakat yang tidak bersalah, menjejaskan keperluan asas seperti air dan elektrik, menjejaskan pendapatan dan saraan hidup dan lain-lain lagi adalah antara ciri-ciri besar perampasan dan pencabulan hak asasi manusia.

Menambahkan lagi kezaliman ini ialah sokongan oleh Amerika berdasarkan alasan hak asasi manusia atau kedaulatan negara iaitu hak kedaulatan negara haram Israel yang tidak boleh dicemari. Penafian HAMAS sebagai kerajaan pilihan rakyat Palestin melalui proses demokrasi juga merupakan satu pencabulan hak asasi manusia, selari dengan Perkara 21 (3) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat iaitu “Iltizam rakyat akan dijadikan asas pemerintahan kerajaan; iltizam ini akan dizahirkan dalam pilihan raya yang berkala dan sah menerusi hak memilih yang saksama dan sejagat, dan akan diadakan secara undi rahsia atau dengan prosedur pengundian yang bebas”.

Dalam konteks ini, krisis politik di Perak baru-baru ini ada kaitannya. Jika iltizam rakyat ketika Pilihan raya Umum ke-12 mengisyaratkan kecenderungan kepada Pakatan Rakyat, maka iltizam itulah seharusnya dijadikan asas pemerintahan kerajaan negeri dan bukannya melalui proses peralihan kuasa secara lompat parti. Walaupun mungkin undang-undang membenarkannya namun bukankah asasnya ialah iltizam rakyat?

Ketika artikel ini disiapkan, krisis politik yang sudah menular kepada krisis perlembagaan masih berterusan. Satu ketika dulu, mahkamah dikatakan boleh membentangkan jalan penyelesaian kepada kemelut tersebut namun perkara sebaliknya berlaku. Mahkamah kini sudah mula mencampuri urusan legislatif apabila Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2 Mac 2009 telah mengeluarkan arahan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa beliau tidak dibenarkan memanggil sebarang Sidang DUN.

Suhakam, badan bebas hak asasi manusia Malaysia, turut menyuarakan pandangannya terhadap cara mana krisis politik di Perak ditangani. Menurut Suhakam, hanya pilihan raya semula boleh menyelesaikan kekusutan dan ketidaktentuan, terutamanya apabila kesahihan surat peletakan jawatan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat berada dalam keraguan. Perkara penting yang ditegaskan oleh Suhakam ialah hak untuk memilih kerajaan pilihan mereka merupakan hak asasi rakyat.

”Kelihatannya, kaedah yang digunakan untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak dipersoalkan. Lanjutan itu, keabsahan kerajaan baru negeri turut dipersoalkan,” jelas Suhakam. Oleh itu, menurut Suhakam, pilihan raya baru untuk Dewan Undangan Negeri harus diadakan selari dengan prinsip hak asasi manusia bagi meleraikan kemelut politik Kerajaan Negeri Perak.

Tetapi apa juga pandangan dan saranan sebenarnya tidak bermakna sekiranya ada pihak yang tidak memahami asas kepada hak asasi manusia. Bukankah hak berkait rapat dengan tanggungjawab, amanah dan keadilan? Hak mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab, amanah dan pastinya keadilan. Jika ada hak tetapi tidak bertanggungjawab, maka hak sama ada mudah dicabuli atau hilang kelayakan atau dikecam orang. Jika tiada hak tetapi merampas hak dengan cara yang salah, maka itu merupakan kezaliman dan mendapat kemurkaan Allah.

Pada pendapat saya, apa yang berlaku di Perak boleh berlaku di negeri lain sekiranya asas tersebut tidak dipegang dan dihormati. Tambah malang jika asas Islam juga dipinggirkan. Dasar pertama Islam dalam ketatanegaraan dan kontrak sosial bernegara adalah musyawarah. Asas kepada musyawarah adalah kepemimpinan sebagai amanah dan kepengikutan sebagai ibadah dalam taah.

Dalam hadis Riwayat Bukhari dan Muslim:

“Daripada ’Abdullah bin Mas’ud, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) yang mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka haq (hak) mereka dan mintalah daripada Allah (hak) kamu”.

Menurut YB Saari, pemerintah wajib bermusyawarah dengan rakyat dan rakyat wajib bermuhasabah terhadap pemerintah. Amanah pemerintah terbatal apabila pemerintah membelakangkan musyawarah. Ringkasnya, dasar hak asasi manusia yang digariskan oleh syariat Islam menetapkan pemerintah tidak menguasai rakyat, tetapi keputusan dan tindakan pemerintah tunduk kepada suara rakyat berpandukan prinsip-prinsip musyawarah. Paling penting, hubungan antara pemerintah dengan rakyat tidak dipaksikan atas kekuasaan tetapi sebaliknya atas kebebasan bersuara yang diberikan terhadap rakyat.

Dalam konteks krisis politik di Perak, hak kebebasan bersuara rakyat telah dicabuli secara tidak langsung apabila pertukaran kerajaan negeri berlaku tanpa penglibatan mereka. Walaupun tidak dinafikan ada proses lain seperti restu istana dan kesediaan kerajaan negeri sedia ada mengundur diri yang memungkinkan pertukaran itu berlaku, namun perkembangan yang berlaku lanjutannya membuktikan suara rakyat dan hak kebebasannya telah dicemari sedangkan ia sepatutnya dijunjung.

Begitulah juga keadaannya dengan isu-isu hak asasi lain yang mendepani masyarakat sekarang. Apakah tindakan pencegahan dan takrif umum keselamatan negara itu boleh membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara selama bertahun-tahun lamanya dan dizalimi dirinya dengan dibelasah dan didera tanpa peri kemanusiaan? Pada masa yang sama, ahli keluarga turut dizalimi dengan kehidupan tanpa suami dan ayah. Inilah ciri-ciri ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri yang jelas bercanggah dengan prinsip-prinsip musyawarah atau hak bersuara, basyariyah (kemanusiaan), kebenaran dan keadilan Islam.

“Undang-undang pencegahan tidak sama sekali bermakna kerajaan boleh mencabul hak asasi manusia dengan memenjarakan sesiapa sahaja tanpa bicara! Langkah-langkah pencegahan mesti berjalan seiring dengan usaha untuk menegakkan kebenaran, ketelusan dan keadilan. Keadilan adalah untuk semua, majoriti dan minoriti. Tindakan menjaga kepentingan majoriti tidak bererti kerajaan boleh mencabul hak asasi golongan minoriti. Jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan, mereka hendaklah didakwa dan dibicarakan di mahkamah terbuka.” Ungkapan ini telah seringkali saya nyatakan bagi menangkis hujah pencegahan dan kepentingan majoriti mengatasi kepentingan minoriti yang lazim digunakan oleh pendukung ISA.

Cuba kita perhatikan pula isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini menjadi antara isu hangat. Dasar PPSMI yang dilaksanakan sejak tahun 2003 oleh Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu tidak pernah melalui proses rundingan. Banyak pihak yang menyatakan rasa kurang senang bukan sahaja dengan ‘kesegeraan’ dasar tersebut dilaksanakan tetapi lebih penting lagi kerana ia menafikan hak pengajaran dalam bahasa ibunda. Tindakan itu juga sekali gus menafikan hak pembangunan pendidikan kaum ibunda, merosakkan kesinambungan budaya bangsa dan memangsakan kepentingan ramai pelajar, guru dan sebagainya. Hak masyarakat untuk menentang dasar PPSMI merupakan hak bersuara yang tidak seharusnya dihalang dengan kekerasan. Ia seharusnya disambut dengan amalan musyawarah dan muhasabah. Ternyata prinsip tersebut tidak zahir pada awal penggubalan dasar dan tidak diraikan ketika dasar dilaksanakan.

Perubahan pemahaman terhadap hak asasi manusia dan amalan pelaksanaannya di Malaysia boleh berlaku melalui beberapa cara. Pertama, meningkatkan kefahaman tentang syariat Islam, prinsip-prinsip Islam dan hak asasi manusia khususnya sekitar maqasid syariah dengan mengadakan lebih banyak forum, wacana dan penulisan sehubungannya. Kedua, mendedahkan masyarakat dengan amalan dan tuntutan hak asasi dalam Islam dengan mengambil iktibar daripada perjuangan ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal. Ketiga, meningkatkan peranan gerakan Islam dalam merapatkan jurang kefahaman dan pengamalan tindakan serta penyelesaian dengan terlibat dalam menangani isu-isu hak asasi manusia semasa. Keempat, bekerjasama dengan NGO hak asasi dan mana-mana pihak yang selari dengan prinsip hak asasi manusia Islam dan kelima, beristiqamah dalam tindakan amar makruf nahi mungkar.

Tuan Hj. Syed Ibrahim Syed Noh adalah Timbalan Presiden JIM Pusat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Siasah Syar’iyyah dan Keadilan Sosial. Beliau juga merupakan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

No comments: